Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Brunei memperkenalkan kaedah terbaru mengesan pergerakan dan lokasi individu yang perlu dikuarantin dengan cara memberi mereka memakai gelang tangan khas.

Menurut Pelita Brunei, gelang tangan (iMSafe) tersebut dilengkapi sistem pemantauan IOT real-time monitoring and tracking bagi mengesan lokasi pemakai.

Difahamkan, ia bersesuaian dengan undang-undang negara tersebut iaitu Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.

“Sistem iMSafe ini bukan sahaja membolehkan Kementerian Kesihatan dan Pasukan Polis Diraja Brunei memantau dan mengesan mereka di bawah perintah kuarantin, malah ia juga akan membantu dalam kepatuhan orang ramai, khususnya para pengguna gelang tangan iMSafe terhadap arahan tersebut,” ujarnya.

Selain itu, ia turut mempunyai beberapa ciri lain seperti paparan nama-nama dan lokasi mereka yang ditempatkan di bawah perintah kuarantin, laporan dan status pengguna gelang tangan iMSafe serta dilengkapi dengan sistem amaran.

Untuk pengetahuan anda, gelang tangan iMSafe mempunyai cip pengesan bluetooth serta kod QR tersendiri dan ia akan diaktifkan setelah pemakai tiba di tempat tinggal atau tempat kuarantin.

Sumber: Sinar Harian