Seorang lelaki dipercayai broker penjualan buah pinggang secara haram dengan menawarkan harga lebih RM400,000 untuk warga Britain.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, menyatakan bahawa pihaknya sedang membuat siasatan dan mengesan individu tersebut.

“Pihak JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah) sedang membuat siasatan dan sedang mengenalpasti orang yang dimaksudkan,” ujarnya.

“Laporan polis dibuat pegawai JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak supaya siasatan lanjut dapat dijalankan,” katanya.

Seorang wartawan The Sun berpangkalan di United Kingdom membuat pendedahan dan penyamaran dengan berjumpa suspek berusia 46 tahun itu di sebuah hotel di Kuching, Sarawak.

Penyamaran itu mendedahkan bapa kepada empat anak itu dikenali sebagai Shaifullizan Abdul Mutalib, menawarkan penjualan buah pinggang dengan pakej pelancongan transplan berjumlah £85,000 (RM466,440) secara haram khas untuk warga Britain.

Difahamkan, Shaifullizan dikatakan menjadi dalang bagi penjualan 45 buah pinggang haram dengan hanya menggunakan Facebook untuk menjerat mangsa yang miskin dari seluruh dunia untuk menjual organ badan itu kepada pesakit yang terdesak.

Malah, bayarannya termasuk rasuah secara ‘bawah meja’ supaya pembedahan transplan boleh dilakukan di sebuah klinik di Manila, Filipina.

Gambar Shaifullizan berjaya dirakam menggunakan kamera tersembunyi dan jelas dalam video dirakam lelaki itu berkata ‘Di Manila, wang tunai adalah raja’.

Selain itu, suspek juga mengesahkan hubungan antara perdagangan organ antarabangsa dengan mengambil organ dari minoriti Muslim Uighur yang ditindas di China.

Untuk pengetahuan anda, lelaki warga negara Malaysia itu tidak mempunyai pengalaman perubatan, namun dia mempunyai lebih dari 100 penjual buah pinggang berpotensi di seluruh dunia dalam rekod bukunya yang didapati melalui laman Facebook.

Menurutnya, dia sudah dihubungi sekurang-kurangnya lima warga Britain yang menawarkan untuk menjual organ mereka melalui Facebook.

“Mereka semua serius, tidak ada yang ingin menjual buah pinggang mereka jika tidak ada masalah kewangan,” ujarnya dalam video rakaman berkenaan.

Sumber: Harian Metro