Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) tidak akan menghentikan operasi mencari dan menyelamat(SAR) selagi tidak menemukan peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29 tahun, yang dilaporkan hilang pada 23 Mac lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Soiman Jahid, memberitahu bahawa pencarian dalam skala kecil diteruskan membabitkan radius satu kilometer(km) dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Berdasarkan pengalaman kita, terdapat dua kemungkinan berlaku terhadap Mohammad Ashraf sama ada tergelincir jatuh di kawasan curam sehingga berada di tempat tersembunyi atau tersesat sehingga mengalami masalah kesihatan serta tidak sedarkan diri,” katanya yang yakin mangsa masih berada di lokasi berdekatan tetapi lokasinya belum dikenal pasti.

Tambahnya, kehilangan Mohammad Ashraf berkemungkinan seperti kes kehilangan tujuh kanak-kanak Orang Asli di Pos Tohoi, Gua Musang, empat tahun lalu apabila mangsa ditemukan dalam jarak 500 meter dari lokasi mereka hilang.

Diharap semua pihak dapat mendoakan supaya operasi pencarian dipermudahkan dan mangsa segera ditemukan.

Sumber: Astro Awani & Bernama