Umat Islam di negara ini bakal menyambut Hari Raya Aidiladha pada keesokan jadi, pasti ramai yang ingin tahu jika mereka boleh menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid dan surau berdekatan rumah mereka.

Untuk pengetahuan anda, waktu solat sunat Aidiladha bagi masjid, surau dan surau Jumaat di zon hijau dan kuning di Wilayah Persekutuan ditetapkan pada pukul lapan pagi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail, menjelaskan solat sunat hari raya akan diadakan pada 7.30 pagi bagi kawasan Labuan.

Menurutnya, jemaah perlu memastikan prosedur operasi standard SOP) dipatuhi seperti penjarakan sosial, memakai penutup muka serta membawa sejadah bersaiz besar.

“Bawa kad pengenalan bagi memastikan hanya warganegara saja yang dibenarkan dan buat pemeriksaan suhu badan bagi setiap jemaah,” ujarnya.

“Mereka juga perlu berwuduk di rumah masing-masing dan tidak bersalaman atau bersentuhan selain mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dan garis panduan pelaksanaan solat Jumaat, solat berjemaah di masjid, surau Jumaat dan surau di zon kuning,” jelasnya.

Sentiasa amalkan norma baru tidak kira di mana saja anda berada. Jangan lupa memakai penutup muka apabila berada di kawasan tumpuan awam, penjarakan sosial dan sentiasa mencuci tangan dengan sabun.

Sumber: Harian Metro