Dua gadis berasal dari Kuala Nerus, Terengganu, mencipta kelainan apabila menjalankan perniagaan durian secara ‘cash on delivery’ (COD) di sekitar Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Marang.

Zainur Saffi, 32 tahun, dan sepupunya, Nurul Atiqah Aidil, 25 tahun, tidak menyangka perniagaan mereka mendapat sambutan di luar jangkaan.

Menurut Zainur, idea untuk berniaga durian secara COD timbul apabila dia mendapati konsep jualan itu sentiasa mendapat sambutan masyarakat disebabkan kesibukan urusan seharian mereka.

“Pada hari-hari biasa saya bekerja sebagai ‘runner’ (penghantar barang), tetapi apabila tiba musim durian saya akan tolong bapa berniaga di sekitar Batu Enam,” ujarnya.

“Disebabkan terlalu ramai peniaga durian pada tahun ini, saya serta Nur Atiqah terpaksa memikirkan kaedah jualan lain yang lebih efektif bagi melariskan jualan dan dari situlah datangnya idea jualan COD,” katanya.

Tambahnya, dia tidak sangka perniagaan durian yang diusahakannya melalui laman sosial Facebook mendapat sambutan menggalakkan iaitu antara 70 hingga 80 tempahan sehari.

Difahamkan, setiap hari dia dan Atiqah keluar rumah seawal pukul 10 pagi untuk menghantar tempahan dan pulang ke rumah dalam pukul lapan malam.

Pendapatan bersih yang diterima agak lumayan iaitu sekitar RM500 sehari menyebabkan dua gadis bujang ini semakin bersemangat untuk meneruskan perniagaan itu sehingga musim durian berakhir.

“Tahun-tahun sudah saya hanya berniaga di gerai tepi jalan dan setiap hari jualan hanya sekitar RM20 atau RM30 selonggok. Tetapi dengan konsep perniagaan baru ini, saya pernah menjual sehingga 100 longgok durian sehari yang dijual dengan harga RM35 selonggok,” jelasnya.

Bagi memastikan kepuasan pelanggan, buah yang rosak boleh ditukar semula tanpa ada caj penghantaran tambahan walaupun hanya sebiji.

“Bekalan durian pelbagai jenis diperoleh setiap hari dari Segamat, Johor yang tiba dengan lori di sini pada waktu Subuh,” sambungnya.

“Kami memang pastikan durian yang dijual adalah bekalan baru kerana mahu menjaga kebajikan pelanggan dan yang penting mendapat keberkatan rezeki daripada ALLAH,” ujarnya.

Selain itu, Zainur turut berkongsi petua menghilangkan bau durian di kereta iaitu dengan meletakkan tangkai durian yang dibelah tengah pada tingkap pendingin hawa kenderaan.

Sumber: Sinar Harian