Seorang peneroka dan juga bilal sukarela di Felda Teloi Timur di Kuala Ketil, Kedah, menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas melaungkan azan Isyak di Masjid An-Nur. semalam.

Menurut kenyataan Masjid An-Nur di laman sosial Facebook, allahyarham Ahmad Saad atau dikenali Mat CB dikatakan rebah dan meninggal dunia selepas melaungkan azan.

“Malam ini berlaku kematian di Masjid An-Nur Felda Teloi Timur. Beliau ialah bilal sukarela di masjid ini. Beliau jatuh rebah dan meninggal selepas melaungkan azan Isyak yang terakhir pada malam ini,” ujarnya.

“Beliau seorang yang aktif di masjid dan selalu melaungkan azan secara sukarela,” tambahnya sambil menyifatkan pemergian allahyarham turut dirasai oleh semua warga Felda Teloi Timur.

“Hilang lagi sebutir permata. Meninggal malam Jumaat,” tulis kenyataan tersebut yang tular di media sosial sejak malam tadi.

Selain itu, pengguna Facebook menyifatkan pemergian allahyarham sebagai kematian yang dicemburui.

“Pengakhiran yang sangat dicemburui. Dipanggil ALLAH ketika selesai melaungkan azan di malam yang penuh barakah dan di dalam masjid yang penuh berkat,” ujar pengguna Facebook.

“Semoga roh arwah ditempatkan bersama-sama para solihin. Al-Fatihah dan takziah buat keluarga,” tulis Suhana Abd Majit.

“Alhamdulillah pengakhiran yang baik. Semoga kita semua juga di akhir hayat seperti beliau. Al-Fatihah,” kata Syed Azry Mohammad.

Sumber: Astro Awani & Sinar Harian