Hujung tahun lalu, pelakon terkenal, Rita Rudaini, sempat mengerjakan ibadah umrah bersama dua anak, Airit Rayyan Rizqin, 11 tahun, dan Airit Rafqa Arjuna, 9 tahun.

Menurutnya, dia tidak dapat menahan sebak apabila melihat kedua-dua anaknya dapat melihat Kaabah selain dapat menyempurnakan ibadah umrah dengan sempurna.

“Apabila tengok anak merenung Kaabah, hati sayu sangat. Saya hanya mampu menangis. Lagi pula sebelum ini saya selalu pesan, kehidupan mereka ada saya dan Allah SWT saja,” ujarnya.

“Kalau suatu hari nanti saya tidak ada pun, mereka tidak berkeseorangan kerana Allah ada dan takkan pernah tinggalkan kita,” jelasnya.

Selain itu, Rita menyatakan bahawa kedua-dua anaknya sentiasa menjadi perhatian orang Arab dan jemaah dari luar negara lain semasa berada di sana.

“Ramai suka mereka di sana. Paling selalu kena tangkap untuk dipeluk adalah Arjuna. Mungkin orang Arab ingat Arjuna tu anak orang Arab. Malah ada sampai minta izin nak beli,” katanya.

“Macam Rayyan pun, orang tanya perkara sama. Tapi dia lebih kepada orang Pakistan yang suka. Alhamdulillah ramai sayang dan suka mereka,” tambahnya.

“Saya percaya setiap yang Allah atur dan tulis untuk saya, ada hikmah serta manisnya yang akan diberikan pada kemudian hari,” sambungnya lagi.

Sumber: Harian Metro