Berikutan harga bil yang mendadak tinggi semasa Perintah Kawalan Pergerakan(PKP), ramai pengguna yang tidak berpuas hati kerana penggunaan elektrik tidak sebanyak yang dicaj di dalam bil.

Jika anda tidak berpuas hati dengan bil elektrik yang diterima, anda boleh memfailkan aduan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia(TTPM).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, menyatakan langkah itu adalah alternatif selain penyaluran aduan kepada Tenaga Nasional Berhad(TNB) dan Suruhanjaya Tenaga.

“Isu bil elektrik yang tinggi semasa PKP memang dalam perhatian kita. Kita sedar ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati,” ujarnya.

“Buka fail di TTPM dengan bayaran fi RM5 dan kes akan diadili sebaiknya,” jelasnya sambil menyatakan TTPM telah menerima dua tuntutan mengenai isu tersebut pada 5 Jun lepas.

Untuk pengetahuan anda, TTPM ditubuhkan pada 15 November 1999 menyediakan saluran alternatif kepada pengguna untuk membuat tuntutan ganti rugi berkenaan pembelian barangan atau perkhidmatan dengan kes boleh diselesaikan kurang daripada 60 hari.

Selain itu, badan itu juga membolehkan pengguna memfailkan tuntutan tebus rugi terhadap pembelian barangan dan perkhidmatan yang tidak menepati apa yang diiklankan dengan amaun tidak lebih RM50,000.

Sumber: Bernama & Harian Metro