Seorang lelaki berusia 28 tahun, Muhammad Asyraf Daniel, nekad mengahwini cinta hatinya yang berusia 62 tahun, Datuk Zaleha Bujang, kerana isteri banyak membantunya mendalami agama Islam.

“Sebenarnya saya mualaf. Sepanjang lima tahun perkenalan kami, dialah yang banyak membantu saya mendalami Islam,” ujarnya.

Pasangan itu berkahwin pada 11 September lalu dan kini berbulan madu di Cameron Highlands, Pahang.

Menurutnya, Zaleha yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Jasin, menemani dia mengucapkan kalimah syahadah di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia(Perkim) Cawangan Melaka pada tahun lalu.

“Alhamdulillah, majlis perkahwinan kami berjalan lancar walaupun banyak ujian ditempuhi antaranya tentangan daripada keluarga dan perbezaan usia,” jelasnya.

www.edisi9.com.my

Difahamkan, hampir enam bulan mereka berusaha untuk mendirikan rumah tangga selepas dia memberanikan diri meluahkan perasaan cinta kepada isterinya.

“Saya bersyukur kerana isteri menerima cinta saya dan bersetuju untuk berkahwin. Kami memilih tarikh 11 September yang juga adalah hari Jumaat yang penuh barakah,” katanya yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan.

Hubungan mereka semakin rapat ketika sama-sama bertugas di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Pahang pada Januari 2019 dan bertambah rapat ketika PRK Tanjung Piai, Johor pada November 2019.

mykmu.net

Sepanjang lima tahun perkenalan, Asyraf yakin dengan keputusannya untuk menamatkan status bujang bersama Zaleha.

Selain itu, Zaleha enggan mengulas lanjut namun sempat memaklumkan dia dan suami sedang berbulan madu di Cameron Highlands dan dalam perjalanan mencari bunga, ketika dihubungi.

Terdahulu, gambar pernikahan Zaleha bersama pasangannya, Muhammad Asyraf tular di media sosial dengan rata-rata warga laman sosial berpendapat perbezaan usia 34 tahun bukanlah penghalang dalam membina rumah tangga yang bahagia.

mstar.com.my

Sebelum ini, Zaleha pernah tular dengan tindakannya mendermakan gelang emas kesayangannya bagi membantu Tabung Solidariti Datuk Seri Najib Razak pada dua tahun lalu.

Sumber: Harian Metro