Pelakon terkenal, Noorkhiriah, memberi nasihat kepada mereka yang mahu melakukan penghijrahan untuk menutup aurat supaya tidak melakukannya secara drastik.

Menurutnya, dia bimbang sekiranya perubahan diri secara mendadak itu sukar dikekalkan dan akan kembali dengan imej lama.

“Jangan drastik nanti kot terkejut diri, itu yang patah balik tu. Mula-mula, jangan paksa diri untuk labuh (pakai). Yang penting, tutup ‘gunung-ganang’. Berubah itu mudah istiqamah itu susah,” ujarnya di akaun rasmi Instagram miliknya.

Langkah pertama untuk menutup aurat ialah dengan cuba menutup bahagian anggota badan yang wajib.

“Ajar diri sedikit demi sedikit untuk tutup aurat yang wajib, lengan, kaki, kepala, anggota lain. Bukan sekadar tutup tetapi longgarkan pakaian agar tak ada benjol, bengkak sana sini. Itukan aurat,” jelasnya.

Selain itu, dia turut menasihati mana-mana individu yang cuba berhijrah untuk tidak mudah terkesan dan mendengar kata-kata orang sekeliling yang mungkin mengkritik.

“Kalau orang kata apa-apa diam jangan balas. Nak berubah tak semudah yang disangka. Semua ini Allah yang suruh bukan ustaz bukan juga ustazah. Allah sayang kita hambaNya sebab azab membuka aurat dengan sengaja sangat hebat,” katanya.

“Ingat. Labuh tidak selamanya labuh, singkat tidak selamanya singkat. Petunjuk dan hidayah milik Allah. Terus doakan diri sendiri dan semua,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, Noorkhiriah sendiri mengakui pernah terdetik bimbang mengenai rezekinya sebagai pelakon sebelum nekad membuat keputusan untuk berhijrah sedekad yang lalu.

Sumber: Gempak & IG Noorkhiriah