Walaupun pasukan Malaysia tidak bertanding di Piala Dunia 2018, namun Jalur Gemilang tetap berkibar megah di bumi Rusia hasil usaha seorang lelaki warganegara Malaysia yang juga segak berbaju Melayu semasa pergi ke perlawanan Piala Dunia yang kini sedang berlangsung di Rusia.

Putra Tahsrinudin Tajudin, 32 tahun, seorang pemuda yang bersemangat patriotik dan cintakan negara mendapat idea unik iaitu memakai baju Melayu sambil menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia baru-baru ini.

“Idea ini timbul sebab saya mahu ketengahkan pakaian kebangsaan kita di mata dunia. Ternyata ramai orang asing datang menyapa dan bertanya mengenai baju Melayu yang saya gayakan,” katanya sambil menggayakan baju Melayu bersama topi Soviet Union.

“Sewaktu perlawanan antara Portugal dan Maghribi, salah satu saluran televisyen Rusia turut menemubual saya bertanyakan mengenai baju Melayu dan pengalaman saya di sini,” tambahnya.

Malah, dia juga menarik perhatian penonton bola sepak dari negara lain serta petugas media di sana yang tertarik melihat dirinya memakai satu persalinan lengkap baju Melayu.

Difahamkan, Putra terbang ke Rusia bersama bapa saudara, adik ipar dan seorang rakannya dan kos menetap di sana selama seminggu mencecah sekitar RM7,000 seorang.

Nampaknya nama Malaysia semakin terkenal sempena Piala Dunia tahun ini walaupun negara kita tidak terpilih dalam piala bola sepak berprestij itu. Malaysia Boleh!

Sumber: mStar