Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, 57 tahun, menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1442H/2020M pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Masjid Negara, semalam.

“Sebagai seorang pakar bedah, saya mungkin boleh menyelamatkan satu nyawa pada satu masa. Tapi dalam pentadbiran iaitu kesihatan awam kalau perancangan betul, kita boleh menyelamatkan satu negara,” ujarnya.

Menurutnya, apa yang penting Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerja sebagai satu pasukan untuk negara.

“Saya berasa terharu dan teruja menerima anugerah ini. Tapi saya mewakili KKM dan kakitangan yang bekerja di sebalik tabir untuk menjalankan tugas memutuskan penularan jangkitan Covid-19,” jelasnya.

harakahdaily.net

Dr Noor Hisham diumumkan sebagai Tokoh Kebangsaan selain Syeikhul Azhar Al-Syarif, Sheikh Prof Dr Ahmad Tayyib pula diumumkan sebagai Tokoh Antarabangsa.

Difahamkan, anugerah tersebut dikurniakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Selain itu, Dr Noor Hisham turut memberi ucapan penghargaan ditujukan kepada semua kementerian yang bekerjasama dalam usaha mengawal penularan wabak.

Tambahnya, tanggungjawab memutuskan rantaian pandemik di negara ini adalah tanggungjawab semua pihak termasuk masyarakat.

“Saya menyeru rakyat sama-sama membantu negara iaitu kita jaga kita, keluarga, masyarakat dan negara. Insya-Allah kita akan menang,” sambungnya lagi.

Sumber: Harian Metro