Pelakon cantik manis, Nabilah Ali Dally atau lebih dikenali sebagai Bella Dally, 28 tahun, mengakui sudah bertunang dengan jejaka pilihannya yang merupakan seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Arif, 34 tahun, Sabtu lalu di kediamannya di Kota Kinabalu, Sabah.

Menurutnya, majlis itu diadakan secara tertutup dan dihadiri oleh kedua belah keluarga serta kenalan rapat.

Difahamkan, dia belum bersedia untuk berkongsi lebih lanjut mengenai hubungannya itu kerana masih baru dalam fasa pertunangan.

“Arif adalah kenalan sepupu dan beberapa rakan lain. Apabila sering berjumpa beramai-ramai, kami jadi rapat dan cinta pun berputik,” ujarnya.

“Saya dapat rasakan antara kami ada keserasian. Begitu juga dengannya. Dalam masa sama, saya pula jenis yang serius dalam perhubungan dan tak nak buang masa. Orang kata, perkara bagus sebaiknya dipercepatkan,” jelasnya.

mstar.com.my

“Sejujurnya, saya tidak menjangka akan melalui fasa ini sekali lagi. Walaupun selepas bercerai saya pernah cakap nak memberi fokus pada kerjaya dan belum fikir soal mencari pengganti, tapi siapa saya untuk menidakkan ketentuan Allah SWT? Inilah yang dikatakan jodoh,” sambungnya.

Ditanya mengenai majlis perkahwinan, Bella berkata dia merancang untuk bernikah tahun ini, namun belum ada sebarang tarikh ditetapkan.

“Apa yang penting, saya ingin peminat tahu saya kini dalam fasa gembira dan bahagia. Doakan yang baik-baik untuk kami dan semoga apa yang dirancang berjalan lancar dan dipermudahkan Allah,” katanya.

Bella berkongsi ciri-ciri yang ada pada Arif hingga membuatkannya jatuh cinta antaranya dia seorang yang ‘gentleman’ dan bertanggungjawab.

“Dari awal perkenalan lagi dia tahu status saya dan dia boleh terima. Cuma, dia baru tahu saya selebriti. Sejak itu, dia mulai mengikuti perkembangan saya di Instagram,” ujarnya.

Sebelum ini, Bella pernah berkahwin dengan pelakon Nazim Othman pada 10 September 2016 sebelum bercerai pada 2 Mei 2018.

Sumber: Harian Metro