Negeri pertama menurunkan had usia mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun di negara ini ialah Sabah selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan 2019), hari ini.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar, menjelaskan bahawa Rang Undang-Undang itu diluluskan selepas mendapat sokongan dua pertiga undi daripada ahli dewan.

“Saya fikir dengan sokongan terhadap pindaan itu, Sabah adalah negeri pertama menurunkan had umur mengundi daripada 21 ke 18 tahun,” ujarnya.

“Ini juga sejajar Akta Umur Dewasa 1971 dan takrifan Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu dengan kebanyakan dunia sudah menurunkan had umur mengundi,” jelasnya.

“Justeru dengan kelulusan DUN Sabah hari ini, bermakna pada pilihan raya akan datang, anak muda umur 18 tahun sudah boleh menjadi calon,” katanya.

Menurutnya, sokongan itu juga menunjukkan kerajaan Sabah prihatin terhadap anak muda di negeri ini dalam membuat dasar.

Terdahulu, Parlimen meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had usia minimum mengundi dan menjadi calon pilihan raya daripada 21 ke 18 tahun, Julai lalu.

Difahamkan, seramai tujuh wakil rakyat membahaskan rang undang-undang itu antaranya Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR-Tambunan), Datuk Masidi Manjun (BERSATU-Karanaan) dan Datuk Osman Jamal (WARISAN- Balung).

Sumber: Harian Metro