Kita sedia maklum bahawa bintang seni bela campuran(MMA) dari Dagestan, Khabib Nurmagomedov, memilih menjalani kehidupan sederhana di sebalik bayaran jutaan ringgit yang diterima setiap kali beraksi di gelanggang Ultimate Fighting Championship(UFC).

Contohnya pada tahun lalu, Khabib terbang ke kawasan pedalaman Nigeria dan membina perigi air bagi memudahkan penduduk tempatan di sana mendapat akses kepada air bersih.

Baru-baru ini, juara dunia kategori Lightweight itu membeli sebuah gudang stor simpanan arak di ibu negeri Dagestan, Makhachkala, dan diubah menjadi akademi MMA.

Difahamkan, akademi MMA itu masih dalam fasa pengubahsuaian dan bakal dilengkapi pelbagai kemudahan seperti bilik solat, ruang latihan, sauna, bilik belajar dan pejabat serta asrama bagi pelatih.

Bapanya, Abdulmanap, menjelaskan bahawa akademi tersebut mampu menempatkan sehingga 60 orang pelatih pada satu-satu masa dan berharap kemudahan itu menjadi penanda aras kepada gim di bandar-bandar besar seluruh Rusia.

“Kami menerima pelatih seawal usia 6 tahun dan kami mengalu-alukan ibu bapa untuk bawa anak mereka ke sini,” ujarnya.

“Ini bukan gim biasa, ia juga sekolah. Kami akan melatih anak-anak mereka menjadi lelaki yang mampu mempertahankan negara pada masa depan,” jelasnya.

Dia yang juga jurulatih Khabib, menyatakan bahawa dia akan menjadi tenaga pengajar di akademi tersebut selama tiga tahun sebelum bertindak sebagai penasihat.

Untuk pengetahuan anda, Khabib mempertahankan kejuaraan miliknya apabila menumpaskan Conor McGregor di UFC 229 pada Oktober 2018 sebelum menggagalkan usaha Dustin Poirier untuk merampas gelarannya di UFC 242 yang diadakan di Abu Dhabi pada September lalu.

Sumber: Sinar Harian