Hanya kerana durian, seorang lelaki sanggup mencederakan sepupu sendiri hingga patah tangan kiri akibat pergaduhan di dusun milik bapa saudara mereka.

Kejadian itu dikatakan berlaku di Cabang 3, Kampung Wakaf Bunut, Selising, Pasir Puteh, Kelantan, pada pukul 9 malam, 11 Julai lalu apabila mangsa mengambil durian dari dusun semasa lelaki itu menjaga dusun pada malam kejadian.

Berikutan itu, lelaki itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, atas tuduhan membelasah sepupunya, Mohd. Zulkhairi Abdul Kadir, 41 tahun, menggunakan senjata kayu berpaku sepanjang 80 sentimeter hingga mangsa patah tangan kiri.

Namun, tertuduh, Mohd. Khairul Izwan Mohd. Zin, 32 tahun, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazri Ismail.

Pendakwaan tersebut dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM35,000 dengan dua penjamin serta menetapkan 9 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Sumber: Kosmo Online