Seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan dan pasukan negeri Pahang, R Gopinathan, 30 tahun, mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam, hari ini.

R Gopinathan atau nama Islam Muhammad Gopi Rizqi, mengucap dua kalimah syahadah di depan seorang ustaz di Pejabat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (MUIP) Pahang di Kuantan pada 11 pagi tadi.

“Sudah lama saya tertarik dengan Islam apabila sering melihat rakan solat dan menjalani kehidupan sebagai muslim,” ujarnya.

“Kira-kira dua tahun saya memendam hasrat untuk memeluk Islam sebelum hari ini hati saya terbuka mengucap dua kalimah syahadah secara rasmi,” jelasnya.

Dia yang juga pemain pasukan Polis Diraja Malaysia(PDRM) FA ditemani ibu saudaranya berasa bersyukur kerana segalanya berjalan dengan lancar.

“Sebelum ini ada tiga empat saudara terdekat saya memeluk Islam, saya banyak perhatikan cara kehidupan mereka selain melihat rakan Islam lain,” katanya.

“Apabila melihat mereka solat dan menjalani ibadah membuatkan saya tertarik,” sambungnya lagi sambil memberitahu tindakannya itu diketahui keluarganya serta diterima baik oleh mereka.

Sumber: Harian Metro