Bekas Ketua Pegawai Eksekutif(CEO) Rayani Air, Ravi Alagendran, 52 tahun, bergelar saudara baru atau mualaf selepas dia memeluk Islam secara rasmi, kelmarin.

Rakan baik kepada bekas CEO syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia itu, Syed Mohd Amirrudin Syed Alwi, menyatakan bahawa Ravi telah melafazkan dua kalimah syahadah di Balai Islam Lundang, Kota Bharu, Kelantan.

“Saya gembira dengan perkhabaran ini. Dia (Ravi Alagendran Abdullah) memperoleh hidayah daripada ALLAH SWT untuk memeluk Islam menerusi mimpi,” ujarnya.

“Pergaulan dengan rakan-rakan beragama Islam turut menjadi pendorong kepada Ravi untuk mendalami Islam,” jelasnya.

Menurutnya, tindakan Ravi memperkenalkan penerbangan patuh syariah merupakan salah satu usahanya selepas tertarik dengan ajaran Islam.

“Bagi ‘menyuburkan’ lagi perasaannya terhadap Islam, Ravi banyak membaca dan belajar berkaitan agama Islam. Selain itu, dia kerap mendengar ceramah-ceramah daripada pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik,” katanya.

Difahamkan, setelah memeluk Islam, Ravi berkahwin dengan warga Indonesia, Uci Indah Sari, yang berusia 23 tahun.

Tiga tahun lepas, dia membuat pengumuman menggantung operasi Rayani Air berkuat kuasa serta-merta pada 9 April 2016 lepas.

Pada Jun tahun yang sama, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia(Mavcom) dan Jabatan Penerbangan Awam(DCA) membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara(ASL) serta Sijil Operator Udara(AOC) Rayani Air kerana syarikat itu didapati melanggar syarat-syarat ASL serta kurang keupayaan daripada segi kewangan serta pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial.

Sumber: Sinar Harian