Pengeluaran telur ayam di negeri Kedah cukup untuk menampung permintaan pengguna menjelang ketibaan sambutan perayaan Krismas walaupun bekalannya ketika ini didapati telah berkurangan sebanyak lima peratus.

Gambar sekadar hiasan

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna, Koperasi dan Perdagangan Dalam Negeri Kedah, R. Summugam berkata kekurangan bekalan itu dipercayai berpunca daripada beberapa faktor termasuk kadar kematian ayam yang tinggi pada musim ini yang menjejaskan pengeluaran telur, serta kos kenaikan kos makanan ayam seperti gandum dan jagung yang diimport dari Brazil dan Argentina.

Menurutnya, dia dimaklumkan bahawa Kementerian Pedagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memeriksa di 36 premis berkaitan bekalan telur di seluruh negeri yang melibatkan lima pengeluar, enam pemborong dan 25 peruncit dan mendapati bekalan telur ayam ketika ini telah berkurangan lima peratus,

Gambar sekadar hiasan

“…. namun bekalannya di pasaran masih mencukupi bagi menampung permintaan sepanjang musim perayaan Krismas kali ini,” katanya.

Selain itu, pemeriksaan turut dibuat di Pasaraya Besar Mydin Taman Batik, Sg Petani, turut mendapati bahawa telur ayam gred A, B dan C, masing-masing dijual mengikut harga runcit yang ditetapkan iaitu RM0.44 sebiji bagi telur gred A, RM0.43 sebiji untuk telur gred B dan RM0.42 sebiji bagi telur gred C.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan pemeriksaan pada hari ini, Mydin didapati memang mematuhi skim kawalan harga yang ditetapkan, bahkan turut menawarkan barangan pada harga lebih rendah,” ujarnya.

Sumber: Astro Awani