Bekalan air untuk seramai 200,000 pengguna di Seberang Prai Tengah, Seberang Prai Selatan dan sebahagian daripada bahagian Pulau akan pulih secara berperingkat bermula pukul 3 petang hari ini selepas kerja-kerja pembaikan ke atas kerosakan paip utama selesai.

Ketua Pegawai Eksekutif(CEO) Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd(PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa, menjelaskan bahawa kerja-kerja pembaikan terhadap paip air bersih 1,100mm telah siap pada pukul 5 pagi tadi.

Menurutnya, dua modul di Pusat Rawatan Air(WTP) Sungai Dua, yang merupakan WTP terbesar di Pulau Pinang yang dihentikan operasinya, kini telah dimulakan semula dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada pukul 11 pagi tadi.

“Bermula 3 petang, bekalan air akan kembali normal kepada semua pengguna di Seberang Prai Tengah, Seberang Prai Selatan, dan di bahagian Pulau (akan berlaku) secara berperingkat,” katanya.

Selain itu, Jaseni juga memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi terhadap gangguan bekalan air yang tidak berjadual ini dan sasaran mereka ialah untuk memulihkan bekalan air dalam tempoh 24 jam, iaitu lebih awal daripada indikator prestasi utama yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) iaitu 48 jam untuk gangguan seperti itu.

Sumber: Astro Awani & Bernama