Masalah gangguan bekalan air tidak berjadual di daerah Klang berikutan tiga paip utama yang pecah berhampiran projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping sejak Ahad lepas dijangka pulih secara berperingkat mulai esok.

Hampir 90 kawasan di daerah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas tiga paip utama tersebut pecah.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, menjelaskan bahawa kontraktor Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd(Air Selangor) sedang bekerja 24 jam untuk melaksanakan kerja pembaikan paip berkenaan yang telah siap pada kadar 35 peratus sehingga semalam.

Menurutnya, kontraktor Air Selangor perlu mengambil masa membaiki tiga paip besar berukuran 1400mm, 900mm dan 600mm yang pecah itu.

sinarharian.com.my

“Saya minta kesabaran penduduk Klang sebab masalah air ini adalah sesuatu yang tidak dijangka. Kontraktor bekerja 24 jam bagi memastikan air disambung balik,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga mengarahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menyiasat isu paip pecah tersebut.

Pengerusi Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim, turut menyatakan kerajaan negeri dan pihak WCE akan berusaha menyelesaikan kerja pembaikan paip itu dengan kadar segera.

Sumber: Astro Awani