Baru-baru ini, IKEA telah membuka cawangan terbarunya di Batu Kawan, Pulau Pinang. Beberapa hari yang lepas, telah tular di laman sosial apabila status halal hidangan popular IKEA, bebola daging Kottbullar di IKEA Batu Kawan yang baru sahaja dibuka itu diragui dan dikatakan mempunyai bahan yang tidak halal.

Menerusi satu tweet dari pengguna, sumber yang diperolehi dari whatsapp itu mendakwa bebola daging IKEA Batu Kawan dicampur daging tidak halal. Susulan dari itu, berita itu telah mendapat perhatian pihak IKEA dan mereka tampil menegaskan produk bebola daging Kottbullar yang dijual di stor tersebut halal dan diperbuat daripada daging lembu.

Pengurus Dapur Ikea Batu Kawan, Muhammad Rizal Sunalim telah membuat satu kenyataan dan memberitahu bahawa produk tersebut juga telah mendapat pengesahan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Kami memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa barangan makanan dimasak segar dan dijual di restoran, bistro serta pusat jualan makanan Sweden di semua stor Ikea Malaysia dengan pengesahan sijil halal JAKIM.

“Selain itu, premis ini tidak menggunakan daging babi dan tidak mengandungi alkohol serta dikendalikan oleh pekerja Muslim yang terlatih. Di samping itu, semua pembekal kami mempunyai sijil yang halal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Rizal juga berkata bahawa orang ramai boleh menghubungi pihak pengurusan atau menghubungi IKEA untuk sebarang pertanyaan kepada pegawai berkenaan.

Sumber: Rojak Daily