Terbaru, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan telah mengesahkan bahawa bayi lelaki berusia setahun lima bulan antara dua mangsa terbaru positif Covid19 di negeri itu.

Gambar sekadar hiasan

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, menyatakan seorang lagi lelaki berusia 25 tahun turut positif dan kedua-duanya adalah kontak rapat kepada mangsa ke-162 di Kelantan.

“Kes 163 membabitkan seorang lelaki berusia 25 tahun iaitu adik kepada kes 162. Manakala kes 164 membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lima bulan iaitu anak saudara kepada kes 162,” ujarnya.

“Kedua-dua kes ini mempunyai pendedahan kepada kes 162 pada 22 hingga 28 September iaitu sebelum kes 162 dimasukkan ke wad,” jelasnya.

“Pengambilan sampel kedua-dua kes ini dilakukan pada 29 September 2020 iaitu semasa saringan kontak rapat kes 162 dan disahkan positif,” katanya.

Difahamkan, mangsa bagi kes 162 mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah pada 19 sehingga 22 September, sebelum disahkan positif Covid19 pada Isnin lepas.

Bayi berkenaan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), manakala lelaki terbabit dirawat di Hospital Tumpat.

“Aktiviti pencegahan dan kawalan sedang dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Bharu bagi mengawal rantaian jangkitan,” tambahnya.

“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka semasa berada di tempat awam, elakkan bersalaman, bersentuhan dan berpelukan,” sambungnya lagi.

Sumber: Harian Metro