Bermula Jun tahun ini, Kementerian Kesihatan bakal melaksanakan program suntikan vaksin pneumokokal secara percuma kepada bayi yang baru lahir.

Gambar sekadar hiasan

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, menjelaskan bahawa setakat ini bayi yang layak diberikan suntikan percuma tersebut adalah bayi yang baru lahir bermula 1 Januari 2020.

“Kita masih dalam proses perolehan ubat (vaksin) berkenaan agar selepas itu ia boleh diedarkan kepada semua klinik dan hospital,” ujarnya.

“Jadi, kita menjangkakan pelaksanaan program suntikan itu akan bermula sekurang-kurang pada Jun ini,” jelasnya.

Gambar sekadar hiasan

Walau bagaimanapun, suntikan percuma itu tidak dapat diberikan kepada bayi yang lahir sebelum 1 Januari tahun ini kerana peruntukan tidak termasuk dalam Belanjawan 2020.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan telah merangka strategi pelaksanaan bagi memastikan peruntukan RM60 juta untuk vaksin pneumokokal yang diumumkan pada Belanjawan 2020 baru-baru ini agar dapat digunakan secara baik.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menyatakan bahawa pihaknya komited untuk melaksanakan program vaksin berkenaan seawal yang mungkin pada tahun ini kerana ia sudah lama tertangguh akibat ketiadaan dana.

Sumber: Harian Metro