Kali terakhir Malaysia dilanda virus polio adalah pada tahun 1992 dan negara kita telah diisytiharkan bebas daripada virus berkenaan pada Oktober 2000.

Baru-baru ini, seorang bayi lelaki berusia tiga bulan berasal dari Tuaran, Sabah, mengalami demam, lemah anggota badan dan disahkan dijangkiti virus polio selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada virus berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menjelaskan bahawa bayi lelaki itu disyaki dijangkiti polio daripada pengunjung luar Sabah.

Menurutnya, terdapat dua kemungkinan sama ada virus itu datang dari Filipina atau keluarga bayi tersebut ada melancong ke luar negara.

Berikutan itu, pihak kementerian kini sedang melakukan pemantauan rapi berhubung kes ini.

“Setakat ini yang paling munasabah virus itu datang dari luar Sabah kerana siasatan kami mendapati keluarga (mangsa) tiada rekod melancong ke luar negara,” ujarnya.

Gambar sekadar hiasan

Difahamkan, mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi termasuk telah diberikan tiga suntikan vaksin di sebuah hospital.

Buat masa ini, tiada keperluan bagi pihak Kementerian Kesihatan untuk mewajibkan pengambilan vaksin bagi virus berkenaan sebaliknya, lebih memberikan fokus kepada pemberian vaksin di kawasan pedalaman.

“Kita akan fokus dahulu pada pemberian vaksin terutamanya di kawasan pedalaman kerana buat masa ini ia bukan berada di peringkat merbahaya sebelum kita putuskan untuk mewajibkan pengambilan vaksin”, jelasnya.

Selain itu, Dzulkefly juga meminta agar ibu bapa mengambil langkah pencegahan dengan memastikan tahap kebersihan diutamakan terutamanya ketika memegang bayi.

Sumber: Astro Awani