Menurut berita Agensi Palestin, pelampau Yahudi menyerbu bandar al-Khalil yang terletak kira-kira 30 kilometer di selatan Baitulmaqdis serta membaling batu ke arah pejalan kaki, penduduk dan peniaga, kelmarin.

Malah, seorang bayi Palestin mengalami kecederaan di kepala selepas diserang beberapa pelampau Yahudi di bawah perlindungan tentera rejim Zionis dalam satu kejadian di selatan Tebing Barat.

Bayi itu dikenalpasti sebagai Mohammad Hasan Tanina menjadi sasaran selepas kediaman keluarganya di kawasan kejiranan Tel Rumeida diserang kumpulan berkenaan.

Menurut Persatuan Palang Merah Palestin(PRCS), petugas mereka bertindak segera memindahkan bayi berusia 18 bulan itu ke Hospital Kerajaan al-Khalil untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan, saksi mendakwa tentera rejim Zionis hanya berdiam diri apabila melihat kejadian tersebut yang turut menyebabkan empat yang lain cedera termasuk orang kurang upaya.

Bukan itu saja, beberapa kenderaan milik penduduk Palestin dibakar dan tayar dipancitkan selain bangunan diconteng dalam kejadian serangan berasingan di empat perkampungan berhampiran bandar Nablus dan Ariel di Tebing Barat.

Sebelum ini, pihak berkuasa Israel bertindak menutup Masjid Ibrahimi di al-Khalil kepada orang Islam selepas ribuan pelampau Yahudi berkumpul untuk upacara keagamaan mereka.

Sumber: Sinar Harian