Semalam, seorang bayi berusia tiga bulan, Danial Affan Shazrul Fazami, telah meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya, Taman Lembah Bujang, Merbok, Sungai Petani, Kedah.

Bapa mangsa, Shazrul Fazami Abdul Malek, 36 tahun, menghantar anaknya ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) tetapi disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

“Pada 12.50 tengah hari, bapa bayi itu menerima panggilan daripada pengasuh memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri dan dia bertindak mengambil mangsa untuk dibawa ke hospital,” ujar Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah.

“Bagaimanapun, bayi berkenaan disahkan meninggal dunia pada 2.34 petang ketika dalam perjalanan ke hospital,” jelasnya.

Menurutnya, tiada sebarang luka atau lebam ditemukan pada badan mangsa dan punca kematian masih belum diketahui.

Pada hari kejadian, Shazrul dan isteri, Siti Halijah Hasim, 29 tahun, menghantar dua anak termasuk mangsa dalam keadaan baik ke rumah pengasuh yang tinggal di kawasan perumahan sama pada pukul 6.30 pagi.

Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kematian bayi berkenaan.

Sumber: Harian Metro