Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) mengesahkan terdapat jangkitan Covid19 daripada ibu mengandung terhadap bayinya selepas proses kelahiran.

Difahamkan, bayi tersebut baru berusia 18 hari dan menjadi individu termuda di Malaysia dijangkiti Covid19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan bahawa bayi itu disahkan positif wabak itu ketika berusia 18 hari.

“Memang ada kes tetapi kita tidak pasti sama ada jangkitan itu berlaku ketika di dalam kandungan atau sebaliknya,” ujarnya.

Gambar sekadar hiasan

Walau bagaimanapun, proses kelahiran bayi tersebut berjalan lancar dan tiada sebarang komplikasi berlaku semasa proses kelahiran.

Selain itu, Noor Hisham turut menyatakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) menggariskan tiga faktor untuk sesebuah negara mengisytiharkan darurat akibat pandemik Covid19.

“Faktor pertama apabila banyak kematian berlaku, kedua jangkitan dengan mudah dan cepat serta terakhir ekonomi,” ujarnya.

“Di Malaysia, kita ada tiga faktor ini di peringkat awal iaitu pertengahan April apabila kes naik mendadak,” jelasnya.

Tambahnya, negara kini dalam fasa pemulihan dan berharap sektor ekonomi juga dapat berfungsi seperti biasa tetapi mengikut syarat dan prosedur operasi standard(SOP) ditetapkan oleh KKM.

Sumber: Harian Metro