Di Bandar Seremban Selatan, Seremban, Negeri Sembilan, seorang kanak-kanak perempuan baru berusia tiga tahun, Nuramanina, terpaksa menemani ibunya, Farah Idayu Mohd Shah, 29 tahun, kais sampah demi kelangsungan hidup dua adiknya yang menghidap masalah jantung kronik.

Malah, dia tidak pernah merungut jika ibunya hanya mampu menyediakan nasi berlaukkan telur sejak adiknya dilahirkan dan kadangkala terpaksa ‘berpuasa’ kerana tiada makanan.

Difahamkan, setiap malam, selepas bapanya Mohamad Azroy Ali, 25 tahun, pulang bekerja, Nuramanina akan menemani ibunya menyelongkar tong sampah berhampiran rumah untuk mencari barangan terbuang seperti kotak dan tin untuk menambah pendapatan keluarga mereka.

Menurut ibunya, dia tiada pilihan kerana dua adik Nuramanina iaitu Nurfatihah dan Nuraisyah masing-masing berusia setahun dan empat bulan memerlukan perbelanjaan besar selain perhatian lebih dan penjagaan rapi.

“Makan kami bercatu sampai orang beri ayam busuk pun kami goreng makan, kadangkala tambang teksi ke hospital pun saya terpaksa tebalkan muka meminjam dengan jiran tetangga,” ujarnya.

“Jadi, saya rela selongkar tong sampah cari apa yang boleh dijual kerana saya bimbang jika tak anak-anak susah nak makan apatah lagi anak sulung, saya kasihan dia membesar tak macam orang lain badan semakin kurus sampai orang cakap saya tak pandai jaga anak,” jelasnya.

“Kadangkala saya rasa anak sulung terabai, tetapi dia pandai berdikari. Pandai ambil makanan sendiri dan rajin bantu saya,” katanya.

“Mungkin dia faham (kedaifan keluarga) makan apa yang ada kadang-kadang hanya makan nasi bercatu dengan telur pun dia ok. Kalau tak ada (makanan) dia diam saja,” tambahnya.

Untuk pengetahuan anda, setiap bulan mereka perlu menyediakan hampir RM1,000 bagi membeli susu khas buat kedua-dua anaknya yang sakit itu.

“Anak kedua saya, Nurfatihah menghidap masalah jantung Tetralogy of Fallot(TOF) atau penyakit jantung konginetal sianotik selain Major Aorfa Pulmonary Colateral Arteries(MAPCA),” sambungnya lagi.

“Dia tidak boleh makan makanan pejal kerana dia cepat mengah apabila mengunyah yang menyebabkan badannya kebiruan. Jadi doktor mengesyorkan dia diberikan susu khas bagi menggantikan zat,” ujarnya.

“Adiknya Nuraisyah pula menghidap jantung berlubang (VSD), Duktus Arteriosus Terbuka (PDA) dan tidak boleh minum susu sebarangan, dia akan muntah dan cirit birit mengakibatkan nafasnya menjadi laju,” jelasnya.

“Kadang-kadang hendak membeli susu murah pun saya sampai tak ada duit, jadi saya cuba mohon bantuan dalam media sosial, tapi orang kecam,” katanya.

Difahamkan, Farah hanya mempunyai suaminya sahaja untuk menjaga anak-anak mereka kerana dia anak yatim piatu.

Mereka sekeluarga bergantung sepenuhnya dengan suaminya yang tiada pendapatan tetap sebagai pembantu pasar malam dengan mengambil upah RM50 sehari jika tidak hujan. Jika hujan, maka upahnya akan berkurangan kerana tidak ramai pelangan.

“Malam pula dia mengambil alih tugas menjaga anak kami, manakala pada hari cuti, dia tak sempat hendak rehat sambung lagi buat kerja apa yang boleh buat duit termasuk menukar minyak hitam kenderaan untuk menambah pendapatan,” jelasnya.

“Sebenarnya sudah banyak kali kami turun naik jumpa pihak berwajib untuk dapatkan bantuan termasuk penempatan rumah awam, tetapi semuanya hampa sampai saya terfikir ini saja jalan terakhir dengan mencari barangan terbuang untuk bantu ringankan beban suami,” katanya.

Selain itu, doktor memaklumkan tiada rawatan dapat dijalankan untuk menyembuhkan anak keduanya dan jangka hayatnya hanya mampu bertahan 15 hingga 20 tahun saja.

“Pakar mengesahkan tiada lagi harapan buat Fatihah kerana keadaannya kini 50-50, malah tiada ubat dan rawatan dapat dilakukan di Malaysia. Semakin membesar dia akan mengalami banyak komplikasi dan kerap masuk hospital kerana membiru, tidak boleh terkena panas dan pengsan kerana lemah imunisasi,” ujarnya.

Sebagai ibu, tiada apa yang dia mahukan selain berharap berharap satu keajaiban supaya Allah panjangkan umur anak keduanya itu agar dapat hidup bersamanya lama sedikit daripada jangkaan doktor.

“Harapan saya kerajaan sudi ringankan beban kami sekurang-kurangnya menempatkan kami di perumahan awam kerana dengan itu kami dapat jimat bayaran rumah RM500 sebulan,” jelasnya sambil menambah hanya Fatihah sahaja menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) sebanyak RM200 sebulan.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan bantuan ke akaun Ambank 8881031641971.

Sumber: Harian Metro