Akibat terlalu marah kerana hidangan yang dimasak tidak dijamah, seorang lelaki warga Indonesia tergamak memukul anak perempuannya yang berusia sembilan tahun di Taman Setia Jasa, Temerloh, Pahang.

Gambar sekadar hiasan

Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Yusri Othman, menceritakan bahawa kejadian tersebut didakwa berlaku petang Jumaat minggu lalu, apabila mangsa yang juga merupakan anak bongsu suspek membawa pulang hidangan yang dibekalkan suspek untuk jamuan di sekolah.

“Suspek yang berusia 47 tahun dipercayai marah apabila mengetahui makanan tersebut tidak disentuh murid dan guru menyebabkan dia marah, memaki hamun dan memukul mangsa,” ujarnya.

Gambar sekadar hiasan

“Pemeriksaan kesihatan mendapati mangsa mengalami kesan lebam pada paha kiri dan bengkak di kepala,” jelasnya.

Menurutnya, ibu mangsa membuat laporan selepas mengetahui kejadian itu daripada kakak mangsa yang berusia 10 tahun, yang menghubunginya pada 4.30 petang hari berkenaan.

Gambar sekadar hiasan

Difahamkan, suspek dan isterinya sudah bercerai pada tahun 2015 dengan hak penjagaan tiga anak yang berusia antara sembilan hingga 13 tahun diserahkan kepada suspek.

Kini, suspek ditahan reman sehingga Selasa, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sumber: Astro Awani & Bernama