Seorang bapa sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan anaknya mendapat kehidupan yang selesa.

Baru-baru ini, seorang lelaki, Mohd Azmi Ahmad, sanggup mendirikan sebuah khemah di atas bukit setinggi kira-kira 20 meter khas untuk anak perempuannya, Nurlieda Khaleeda Mohd Azmi, 20 tahun,.

Difahamkan, khemah yang terletak di Bukit Petai Tujuh, Tanah Merah, Kelantan, itu dibina bagi membantu anaknya mengikuti pengajian dalam talian berikutan capaian Internet dan kemudahan telekomunikasi yang tidak memuaskan di kawasan tersebut.

Sebelum ini, Nurlieda terpaksa ke bandar yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya untuk mendapat akses Internet.

“Namun, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 21 Nov lepas, saya tidak dapat ke bandar dan ayah mengambil keputusan untuk mendirikan khemah itu untuk saya,” ujarnya.

Menurut pelajar Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) itu, hampir setiap hari dia terpaksa menggunakan ‘kelas’ yang terletak kira-kira 30 meter dari rumahnya itu.

sinarplus.sinarharian.com.my

“Hanya pada waktu malam saja saya tak ke sana kerana bimbang dengan ancaman haiwan berbisa seperti ular,” jelasnya.

“Lebih merisaukan saya ketika ini kerana sedang menduduki peperiksaan yang bermula 23 November hingga 3 Disember ini. Saya perlu menggunakan kamera telefon bimbit bagi memudahkan pensyarah memantau,” katanya.

“Saya rasa agak tertekan dengan rangkaian Internet di kampung ini yang ada kadangkala tiada sehingga menyukarkan saya untuk menjawab peperiksaan. Jika talian Internet terputus, saya terpaksa menjawab semula soalan dan tiada masa tambahan diberikan,” sambungnya.

Sementara itu, Mohd Azmi berkata, dia akan menemani anaknya di khemah itu hingga selesai sesi pembelajaran atau peperiksaan.

“Tambahan pula pada ketika ini setiap hari hujan, khemah ini tidak selesa namun tiada pilihan untuk masa depan anak saya dalam pendidikan,” kata Azmi yang sentiasa menemani anaknya di khemah itu hingga selesai sesi pembelajaran atau peperiksaan.

“Masalah liputan Internet dan talian telefon sudah lama dialami penduduk di sini serta lima kampung berdekatan yang lain. Malah ada juga golongan muda membina pondok di atas pokok untuk mendapatkan Internet dan rangkaian telekomunikasi lain,” tambahnya lagi.

Sumber: Bernama, Gempak