Pembayaran fasa ketiga bagi Bantuan Sara Hidup(BSH) 2019 akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima mulai Rabu ini dengan menggunakan maklumat akaun bank yang digunakan ketika pembayaran fasa kedua BSH 2019 sebelum ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, peruntukan yang terbabit berjumlah RM1.23 bilion dan diberikan kepada hampir 3.6 juta penerima BSH.

“Pada masa sama, sejumlah RM2.85 bilion sudah disalurkan bagi bayaran fasa pertama (Januari 2019) dan kedua (Mei 2019) BSH 2019 kepada isi rumah yang diluluskan, termasuk bayaran kadar tambahan sebanyak RM120 bagi setiap orang anak tanggungan terhad kepada maksimum empat anak,” ujarnya.

“Anak tanggungan merujuk kepada anak berusia 18 tahun dan ke bawah dan juga anak orang kurang upaya (OKU) tanpa had umur,” jelasnya.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, anda boleh hubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 atau emel kepada bsh@treasury.gov.my.

Berdasarkan perincian nilai BSH 2019 bagi fasa ketiga, pendapatan isi rumah bawah RM2,000 akan menerima BSH RM400, pendapatan isi rumah RM2,001 hingga RM3,000 (RM300) manakala pendapatan isi rumah RM3,001 hingga RM4,000 menerima RM100.

Bagi fasa dua pada Mei lalu, pendapatan isu rumah bawah RM2,000 menerima BSH RM300, pendapatan isu rumah RM2,001 hingga RM3,000 (RM150) manakala pendapatan isu rumah RM3,001 hingga RM4,000 menerima RM100.

Untuk fasa pertama pula, semua kategori pendapatan bulanan isi rumah berkenaan masing-masing menerima RM300 pada Januari lalu.

Keseluruhan jumlah BSH 2019 untuk ketiga-tiga fasa diterima bagi pendapatan isi rumah bawah RM2,000 ialah RM1,000, pendapatan isi rumah RM2,001 hingga RM3,000 (RM750) manakala pendapatan isi rumah RM3,001 hingga RM4,000 menerima RM500.

Sumber: Harian Metro