Seorang guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid(PKHEM) Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8 (3), Putrajaya, Mohamad Iqbal Kamudin, 37 tahun, tular di laman sosial apabila dia menunjukkan ciptaan alat untuk memakai cecair nyah kuman atau hand sanitizer, tanpa sentuhan.

Menurutnya, alat mesra pengguna itu diperbuat daripada paip yang disambung menggunakan gam polivinil klorida(PVC) supaya melekat dengan kuat selain menggunakan pasir sebagai pemberat untuk membuatkannya lebih stabil.

Difahamkan, alat itu mudah digunakan kerana pengguna hanya perlu memijak pedal menggunakan kaki untuk menekan cecair keluar daripada kepala paip tanpa menyentuh mana-mana permukaan menggunakan tangan.

“Idea ini tercetus selepas melihat situasi semasa yakni adanya sebahagian premis yang tidak meletakkan kakitangan di pintu masuk untuk membantu memicit cecair nyah kuman hingga pelanggan perlu melakukannya sendiri,” ujarnya.

“Keadaan itu meletakkan pengunjung premis berkenaan dalam bahaya apabila bergilir-gilir menyentuh botol dan pam pemicit cecair nyah kuman,” jelasnya.

“Jika tidak menyebarkan virus, ada kemungkinan seseorang itu boleh dijangkiti kuman terutama mereka yang tidak mempunyai antibodi kuat,” katanya.

“Disebabkan itu, saya cipta alat ini sebagai langkah pencegahan kerana wabak ini belum berakhir walaupun kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” tambahnya.

“Saya mulakan dengan melakar rekaan alat itu kelmarin dan menghasilkan sendiri semalam sebelum membuat kemasan akhir dengan mengecatnya, hari ini,” sambungnya.

Berikutan itu, dia mendapat banyak maklum balas positif selepas memuat naik gambar hasil projek perintisnya itu di laman sosial Facebook.

Malah, ada juga yang mahu menempah alat ciptaannya itu untuk kegunaan di rumah.

“Alhamdulillah, banyak permintaan diterima untuk menghasilkannya termasuk daripada individu perseorangan dan saya sudah mengusulkan alat ini kepada pegawai pendidikan di Putrajaya,” ujarnya.

“Untuk permulaan, saya bercadang menghasilkannya bagi kegunaan sekolah di Putrajaya bermula dengan sekolah menengah yang bakal dibuka tidak lama lagi,” jelasnya.

“Namun, penghasilannya adalah mengikut bajet sekolah itu sendiri atau pihak yang mahu menyumbang dana,” sambungnya lagi.

Sumber: Harian Metro