Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) telah mengambil keputusan untuk membatalkan program FitMalaysia Edisi Melaka akibat jerebu kerana laporan IPU yang dicatatkan tidak sihat. Program itu dijadualkan berlangsung pada Sabtu (14 September) di Dataran Pahlawan, Melaka Megamall, Bandar Hilir Melaka.

“Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat dan pandangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan Jabatan Alam Sekitar, iaitu sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100, sebarang aktiviti fizikal di kawasan terbuka adalah tidak digalakkan,” kata satu kenyataan daripada pihak KBS pada Jumaat.

Berdasarkan laporan IPU yang dicatatkan di Bandaraya Melaka pada petang Jumaat (13 September) adalah sekitar 120 dan dijangkakan berada pada paras tidak sihat untuk aktiviti luar pada Sabtu.

“Program FitMalaysia sering mendapat sambutan daripada pelbagai peringkat umur terutamanya kanak-kanak. Oleh itu pihak KBS terpaksa membatalkan program ini untuk mengelakkan risiko orang ramai berdepan dengan masalah kesihatan,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, sebarang pengumuman berkenaan pelaksanaan program FitMalaysia Edisi Melaka pada masa yang akan datang akan dimaklumkan kemudian. KBS juga mengucapkan terima kasih kepada lebih 12,000 orang peserta yang telah mendaftar untuk menyertai program tersebut.

Sumber: Awani