Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menjelaskan bahawa kerajaan negeri mungkin terdedah kepada tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak terutama daripada kalangan pihak industri jika menghalang mana-mana syarikat daripada memulakan operasi mulai semalam.

Menurutnya, kerajaan memandang serius terhadap pendirian beberapa kerajaan negeri yang ingkar untuk melaksanakan keputusan membuka semula ekonomi.

“Tindakan kerajaan negeri adalah tidak bersandarkan kepada punca kuasa yang sah di bawah mana-mana undang-undang dan adalah bercanggah dengan dasar Kerajaan Persekutuan. Lebih-lebih lagi memandangkan dasar Kerajaan Persekutuan tersebut telah pun dijadikan undang-undang yang berkuatkuasa di seluruh negara,” ujarnya.

Sejak semalam, syarikat-syarikat daripada hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula berikutan keputusan kerajaan yang dicapai pada Jumaat lalu.

Tegasnya, keputusan untuk memulakan semula sektor-sektor ekonomi itu di bawah syarat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibuat dengan penuh teliti, berhati-hati dan bertanggungjawab serta didokong oleh data dan kajian oleh Kementerian Kewangan, MITI, Bank Negara Malaysia dan Khazanah Nasional Berhad.

Malah, hasil kajian terbabit telah dibentangkan untuk perbincangan dengan Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri pada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Khamis lalu.

Tambahnya, berdasarkan perbincangan dalam mesyuarat itu, kerajaan-kerajaan negeri turut menyedari sekiranya PKP sedia ada dilanjutkan sehingga Jun 2020, kesan kumulatif kehilangan pendapatan negara dianggarkan sebanyak RM146 billion atau kekurangan sebanyak 10.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK) yang boleh menghapuskan kemajuan ekonomi yang telah dicapai sepanjang empat tahun lepas.

“Sehubungan itu, mesyuarat ini telah bersetuju untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi dalam tempoh PKPB bermula 4 Mei, 2020. Kerajaan Persekutuan akan menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang komprehensif dan ketat untuk digunapakai oleh semua pihak dan SOP ini disediakan kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri,” jelasnya.

“Bagi tujuan penjelasan, SOP ini telah pun diserahkan kepada semua Kerajaan Negeri pada 2 Mei 2020 iaitu sebelum tarikh penguatkuasaan PKPB,” katanya.

“Justeru, keputusan kerajaan bagi membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi untuk memulihkan dan merangsang semula ekonomi dijangka memberi impak yang positif ke atas pertumbuhan ekonomi dan kedudukan kewangan negara, bukan sahaja di peringkat Persekutuan malahan juga bagi peringkat negeri,” sambungnya lagi.

Sumber: Astro Awani & Bernama