Seorang lelaki berusia 41 tahun dijatuhi hukuman 40 tahun penjara dan 24 sebatan atas empat pertuduhan termasuk melakukan sumbang mahram terhadap anak kandungnya sendiri yang juga merupakan Orang Kurang Upaya(OKU) Masalah Pembelajaran.

Difahamkan, keputusan itu dibuat hakim Mahkamah Seksyen Kuala Terengganu, Nooriah Osman, selepas tertuduh mengaku bersalah atas semua pertuduhan.

Tertuduh didakwa mengikut seksyen 376b Kanun Keseksaan, Seksyen 377b Kanun Keseksaan dan seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana menghasilkan video pornografi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh telah melakukan persetubuhan dengan anak kandungnya yang berusia 12 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Durian Penjara, Marang, Terengganu, kira-kira pukul 11 pagi pada 20 September lepas.

Tertuduh turut mengulangi perbuatan yang sama terhadap mangsa di beranda sebuah rumah di daerah Marang pada 21 September sekitar pukul lima pagi.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh dengan sengaja telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii sekitar pukul 11 pagi pada 20 September.

Selain itu, lelaki itu turut didakwa menghasilkan video pornografi menggunakan telefon bimbit di sebuah rumah di Marang pada 20 September lalu iaitu pada pukul 11 pagi.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mahkamah masing-masing menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan lapan sebatan serta memerintahkan hukuman penjara berjalan secara berasingan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan dua sebatan sementara itu bagi pertuduhan keempat tertuduh dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun dan enam sebatan.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh dia ditangkap.

Malah, mahkamah turut mengarahkan pemandu lori itu diletakkan dibawah pengawasan selama setahun mengikut seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Hakim dalam penghakimannya berkata, perbuatan yang dilakukan tertuduh amat keji dan terkutuk kerana tertuduh sepatutnya memberi contoh dan mendidik anaknya memandangkan mangsa adalah OKU tetapi bertindak sebaliknya apabila mengambil kesempatan dengan melakukan perbuatan terkutuk itu.

Sumber: Astro Awani