Pelakon cantik manis, Kilafairy, tersentuh sehingga mengalirkan air mata semasa memberitahu bapanya bahawa dia sudah berhijab pada hari raya ke 11 lalu.

Menurutnya, dia bersyukur apabila dapat menggembirakan seluruh ahli keluarganya dengan imej terbarunya itu.

“Ketika memaklumkan kepada ayah yang saya mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya, kami begitu sebak sehingga saya mengalirkan air mata,” ujar anak penyanyi Rohana Jalil itu.

“Keluarga saya memang susah nak kongsi perasaan masing-msing kecuali bapa dan saya. Kami ini macam dalam filem hindustan sikitlah,” jelasnya.

“Saya lihat wajah ayah berkaca ketika kami saling berpelukan. Saya bersyukur saya sempat melihat keluarga saya gembira dengan perubahan saya ini,” katanya.

Awal tahun ini, Kilafairy membuang imej seksi dan mula berpakaian sopan secara perlahan-lahan. Kini, pengusaha produk kesihatan itu kelihatan manis dengan gaya terbaru itu.

“Saya doakan semoga awak terus istiqamah, semoga Allah kuatkan hatimu, kuatkan iman, tegakkan iman, dapat menerima manfaat, boleh menjadi wanita solehah dan contoh teladan kepada ramai orang,” ujar rakan artis, Neelofa.

Sumber: Harian Metro & Youtube Kilafairy