Seorang lelaki berusia 58 tahun tergamak memukul anak perempuan sendiri dengan tukul pemecah dinding hanya kerana anaknya sukar mendapatkan pekerjaan selepas berjaya mendapat segulung ijazah dalam bidang perakaunan.

Kejadian tersebut berlaku di Parit Sungai Melan, Kuala Kurau, berdekatan Parit Buntar, Perak, di antara pukul 5.30 petang hingga 6.30 petang semasa lelaki itu baru balik dari kerja, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, memberitahu bahawa pihaknya telah menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada pukul 7.25 malam tadi.

Menurutnya, siasatan mendapati punca kejadian tersebut adalah kerana mangsa belum menerima pekerjaan selepas mendapat ijazah.

“Ketika kejadian, mangsa sedang membaca al-Quran sebelum didatangi bapanya yang secara tiba-tiba bertindak memukul mangsa di kepala menggunakan tukul pemecah dinding,” ujarnya.

Gambar sekadar hiasan

“Akibat kejadian itu, mangsa parah manakala bapanya yang dipercayai menyesal dengan kejadian itu bertindak menghentak kepalanya pada dinding rumah dan menerima lima jahitan di kepala,” jelasnya.

“Suspek juga mengalami keretakan pada tulang tapak tangan kiri akibat tindakan mencederakan dirinya sendiri,” sambungnya.

Difahamkan, polis telah menahan suspek yang juga ayah kepada mangsa semasa menerima rawatan di Hospital Parit Buntar.

“Mangsa yang parah menerima rawatan awal di Hospital Taiping dan kini dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) berikutan kecederaan serius dialami kesan hentakan tukul itu,” sambungnya. sambil menyatakan siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro