Baru-baru ini, penyanyi Awie dikatakan ditimpa pelbagai penyakit selepas pulang daripada mengerjakan umrah Disember lalu. Menurut Awie, dia pasrah dan redha dengan ujian tuhan.

Awie atau nama penuhnya Ahmad Azhar Othman, 55, menganggap dugaan dihadapinya sekarang sebagai kifarah dosa lampau dan dijadikan pengajaran untuk dikongsi bersama anak serta cucu.

“Inilah ketentuan Allah untuk menduga iman manusia.

“Setiap sakit pasti ada penawar dan kita tidak harus berhenti berusaha. Saya menganggap ujian ini sebagai penghapus dosa lampau dan membuatkan saya tidak mudah alpa.

“Mungkin sebelum ini saya kurang bersujud dan dugaan ini menjadi peringatan daripada-Nya. Iman bukan sahaja ada dalam ingatan, sebaliknya harus diamalkan. Saya pasrah dengan ujian yang dihadapi dan ia menjadi pengajaran untuk masa depan,” katanya kepada BH Online.

Gambar: Youtube

Sebelum ini, dia pernah dilaporkan terlantar hampir seminggu di sebuah pusat perubatan di ibu negara selepas mengalami kesukaran bernafas. Awie juga turut mengadu sakit perut, selain bahagian belakangnya pula terasa seperti dicucuk dengan benda tajam yang membara.

Awie berkata, dia masih mendapatkan nasihat pakar berhubung masalah kesihatan, setiap bulan.

“Alhamdulillah, kesihatan saya beransur pulih, cuma masih kurang boleh berjalan.

“Selain rawatan moden, saya turut mendapatkan khidmat tradisional. Tidak kira apapun, saya tetap berikhtiar untuk mencari penawar penyakit,” katanya.

Awie juga bersyukur ibadat umrah dapat disempurnakan dengan lancar, penghujung tahun lalu. Tambahnya, dia sedang mencari dana untuk menyempurnakan hasrat membawa anggota Wings mengerjakan ibadat berkenaan, tahun ini. Walaupun berdepan dengan masalah kesihatan, Awie berkata dia harus kuat demi isteri dan anak.

“Saya perlu menguatkan semangat beraksi di pentas membuat persembahan walaupun terpaksa duduk di kerusi dan bertongkat,” katanya yang merancang menganjurkan konsert Wings pada pertengahan November depan di beberapa lokasi terpilih.

Sumber: BH Online