Baru-baru ini, tular di sosial media mengenai sebuah gambar yang menunjukkan beberapa pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menunaikan solat Subuh di lorong kecemasan akibat kesesakan lalu lintas untuk pulang ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Berikutan itu, kini pengguna lebuh raya tersebut dinasihatkan agar tidak menunaikan solat di lorong kecemasan atas faktor keselamatan.

Menurut kenyataan media pemegang konsesi KLK dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad, menyatakan tindakan itu boleh membuatkan penunggang motosikal atau kenderaan lain mungkin tidak menyedari kehadiran individu di lorong kecemasan tersebut.

“Kami amat menghargai kesabaran pengguna Lebuhraya KLK dan juga ketaatan umat Islam menunaikan ibadah solat ketika dalam perjalanan ke Pantai Timur pada setiap kali musim perayaan dan cuti umum,” tulisnya.

Gambar sekadar hiasan

“Namun, kami sebagai pengendali Lebuhraya KLK juga ingin memohon kesabaran dan penelitian wajar daripada pengguna jalan raya agar tidak menunaikan ibadah solat di atas jalan raya iaitu di lorong kecemasan atas faktor keselamatan,” jelasnya.

Selain itu, Anih Berhad turut berharap pengguna lebuh raya dapat merancang perjalanan serta berhenti di hentian rehat dan rawat sepanjang LPT1 dan LKL ketika pulang ke Lembah Klang untuk solat atau berhenti rehat.

“Tindakan itu sebagai langkah persediaan dalam menjangkakan peningkatan jumlah kenderaan mendadak dan kesesakan yang bakal ditempuhi kelak,” tambahnya lagi.

Sumber: Bernama & Sinar Harian