Selepas permit kebenaran untuk jemaah luar dibuka bermula 1 November ini, keputusan Arab Saudi yang menetapkan had umur tertentu bagi mengerjakan umrah perlu diterima dan diikuti termasuk oleh pengendali serta jemaah.

Gambar sekadar hiasan

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaari, menyatakan bahawa semua pihak perlu akur dan menghormati peraturan baharu itu.

“Jika itu syarat ditetapkan, kita perlu akur kerana kerajaan mereka lebih tahu bagaimana keadaan Covid19 di sana,” ujarnya.

“Berkaitan jemaah umrah di Malaysia, pihak kerajaan sehingga hari ini belum memutuskan secara rasmi bagaimana mekanisme (digunakan) sekiranya dibenarkan nanti,” jelasnya.

Difahamkan, negara Arab Saudi hanya membenarkan jemaah luar berumur antara 18 hingga 50 tahun mengerjakan ibadah umrah selepas mengumumkan permit kebenaran dibuka mulai bulan depan.

Gambar sekadar hiasan

Menurutnya, perkara berkenaan belum dibawa ke Kabinet berikutan tumpuan diberikan kepada sidang Parlimen dan kedudukan kerajaan yang sedang hangat diperkatakan.

Walau agaimanapun, berkemungkinan besar sekiranya penularan pandemik Covid19 semakin menurun dan terkawal di Arab Saudi, kelonggaran termasuk had umur dan jumlah jemaah akan dipertimbangkan.

“Jika sudah terkawal nanti, berkemungkinan Arab Saudi membenarkan umrah dibuka untuk semua kategori umur,” katanya.

“Saya sarankan umat Islam bersabar dan tunggu perkembangan semasa Covid19, jika ia bertambah baik berkemungkinan ada kelonggaran had umur diberikan,” tambahnya lagi.

Sumber: Harian Metro