Baru-baru ini, negara Arab saudi menjelaskan bahawa mereka mungkin akan membenarkan golongan wanita untuk mengerjakan haji tanpa mahram, lapor Arab News.

Pada ketika ini, wanita di bawah usia 45 tahun yang mahu untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu perlu membawa mahram(penjaga lelaki) walaupun peraturan itu dilonggarkan untuk mereka yang berumur lebih 45 tahun.

Walau bagaimanapun, Kementerian Haji dan Umrah sedang melakukan kajian untuk mengeluarkan visa pelancong untuk tujuan melancong dan umrah.

Difahamkan, pelaksanaan itu dilihat akan memberi peluang membenarkan wanita melakukan ibadah haji atau umrah tanpa mahram.

Gambar sekadar hiasan

Pada hujung bulan lepas, Arab Saudi melancarkan visa pelancongan terbaru sebagai usaha mempelbagai sumber ekonomi di negara serta menarik lebih ramai pelancong datang ke negara berkenaan.

Untuk pengetahuan anda, tempoh sah laku visa tersebut adalah selama setahun daripada tarikh ia dikeluarkan dan pelancong dibenarkan tinggal di negara itu selama tiga bulan untuk setiap lawatan.

Sumber: Sinar Harian