Aplikasi perkongsian video popular di seluruh dunia, TikTok, diharamkan di India selepas mahkamah negara itu memutuskan TikTok berpotensi mendedahkan kanak-kanak dengan kandungan yang tidak sesuai.

Difahamkan, aplikasi yang popular dalam kalangan remaja itu telah tidak dapat dimuat turun daripada Apple dan Google, malah dipercayai telah dibuang daripada kedua-dua platform berkenaan pada Selasa lalu, lapor CNN.

Kerajaan India dilaporkan meminta Apple dan Google untuk menyekat TikTok selepas mahkamah tinggi di Madras mengeluarkan amaran bahawa ia boleh mendedahkan kanak-kanak kepada pedofilia, kandungan lucah dan buli siber.

Walau bagaimanapun, kementerian teknologi India belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi buat masa ini mengenai isu pengharaman aplikasi TikTok.

Sumber: Astro Awani