Apabila tiba hari Jumaat, umat Islam terutama golongan lelaki akan mengerjakan solat Jumaat seminggu sekali di masjid berdekatan.

Gambar sekadar hiasan

Senario meletakkan kereta di tepi jalan semasa solat Jumaat sudah biasa kita lihat kerana tempat letak kenderaan masjid tidak mencukupi untuk menampung semua kenderaan para jemaah yang datang.

Ada juga yang memilih untuk meletakkan kenderaan dengan sesuka hati di tepi jalan sehingga menyebabkan kesesakan lalulintas dan mendatangkan kesusahan kepada pengguna jalan raya.

Pencetus Ummah(PU), Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan, menjelaskan bahawa perbuatan itu sebenarnya berdosa kerana ianya jelas memberi kesusahan dan mengganggu orang awam.

“Menyusahkan orang lain, ia jatuh hukum dosa. Maksudnya apabila seseorang itu buat ‘double parking’ dan dia telah menyusahkan urusan orang lain dan itu dosa,” ujarnya.

“Sebab apa jatuh dosa, (kerana) ia merosakkan atau menganggu orang lain. Apatah lagi orang yang sengaja meletakkan (kenderaan sesuka hati di bahu jalan), lagi berdosa. Bayangkan Nabi (Muhammad) SAW berkata mengambil buah duri atau mengambil duri-duri di tengah jalan itu sedekah,” jelasnya.

Gambar sekadar hiasan

“Barang siapa yang memudahkan orang lain, maka Allah akan memudahkan dirinya sendiri; sesiapa yang menyusahkan orang lain, Allah akan menyusahkannya urusannya,” sambungnya sambil memetik hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud.

“Kita sebagai manusia, atau Muslim khususnya, kena fikir mengenai orang lain kerana kita ada satu keterikatan atau tanggungjawab,” katanya.

“Kita kena faham orang pun ada masalah, kalau kita menambah masalah orang lain dengan parkir semberono, ia akan menyusahkan orang lain. Sebab kawasan masjid tidak mempunyai keluasan parkir yang cukup, jadi benda ini kita kena sama-sama fikirkan,” tambahnya.

Selain itu, PU Rahmat turut memberi contoh rakyat di Australia yang beragama Islam dan Kristian saling bertolak-ansur kerana berkongsi kawasan meletakkan kenderaan apabila mahu menunaikan ibadat.

Mungkin negara kita patut jadikan contoh itu sebagai salah satu cara yang mungkin boleh selesaikan masalah parkir kereta sesuka hati semasa solat Jumaat. Apa yang penting, dapat kurang kesesakan jalan raya.

Sumber: Astro Awani