Anda pasti tertanya-tanya bolehkah lemang bertukar menjadi sushi? Jawapannya adalah tidak mustahil kerana lemang sushi sudah pun wujud di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Pemilik syarikat Awie Enterprise, Zuriati Sulaiman, memperkenalkan lemang sushi sejak awal tahun lepas dan kini menjadi fenomena di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Bermula dengan menjual serunding ikan bilis dan popia simpul, usahawan wanita berusia 51 tahun ini mampu meraih pendapatan sekurang-kurangnya lima angka sebulan.

Menurutnya, idea dengan meletakkan inti di tengah-tengah lemang bermula daripada idea suaminya, Azizi Abd Muin, 56 tahun.

“Asalnya, idea itu tercetus apabila kami mendapat mesin pembakar lemang daripada Jabatan Pertanian negeri (JPNS) pada 2016,” ujarnya.

“Maknanya, orang makan tak payah cicah lagi. Dalam lemang, dah siap lauknya,” tambahnya yang mendapat idea meletakkan inti serunding ke dalam lemang.

Selain itu, keunikan rasa pedas serunding ciptaannya mendapat tempat di hati penduduk negeri tersebut sebelum produknya dikembangkan dengan penghasilan serunding daging, serunding ayam dan juga rendang daging minang.

Selepas tiga bulan, percubaan membuat lemang sushi berhasil dengan pelbagai jenis inti iaitu lemang serunding daging, lemang serunding ayam, lemang serunding ikan bilis, lemang rendang daging minang dan lemang inti durian D24.

Jelasnya, lemang sushi tersebut tidak menggunakan buluh, namun masih dibalut dengan daun pisang serta dibakar dalam ketuhar khas hasil bantuan Mardi dan JPNS.

“Ia mengambil masa kira-kira enam jam untuk penghasilannya sebelum dijadikan produk sejuk beku dan dipasarkan,” katanya.

Lemang sushi bersaiz sembilan inci panjang itu dipasarkan pada harga RM18 hingga RM20 sebatang dan dijual setelah disejukbekukan serta boleh dipanaskan semula menggunakan ketuhar gelombang mikro atau dikukus untuk mendapatkan kembali rasa yang enak dan lembut.

Zuriati telah mendapat pelbagai pengiktirafan antaranya ialah johan Projek Pengembangan Veterinar Industri Asas Tani Peringkat Kebangsaan 2012, johan serunding ikan bilis pada Hari Peladang Penternak Dan Nelayan (HPPNK) Negeri Sembilan 2014 serta juara produk komersial (kategori mikro) Popia Mini MAHA 2016.

Sumber: Astro Awani