Pernahkah anda terfikir apa akan jadi jika anda memakai jeans yang sama pada setiap hari tanpa dibasuh selama 15 bulan?

Ya, ia kedengaran agak ‘kotor’ dan mengarut, namun seorang pelajar kolej di Kanada, Josh Le, telah menjalankan kajian pada tahun 2011 dengan berbuat demikian untuk mengetahui keadaan jeans yang dipakainya itu selama 15 bulan.

Ia bermula pada September tahun 2009 apabila Le memasuki tahun kedua pengajian di University of Alberta, dia membeli sepasang seluar jeans berjenama Nudie Jeans dengan harga $165 (RM710.00) untuk dipakai pada semester baru tersebut.

Difahamkan, dia memakai seluar jeans tersebut sebanyak 330 kali tanpa membasuhnya iaitu di antara September 2009 sehingga Disember 2010.

Gambar sekadar hiasan

Idea gila untuk memakai jeans sebanyak 330 kali tanpa membasuhnya hadir ketika dia berada di dalam kelas pengajian tekstil. Dia mendapat idea untuk mengubah denimnya menjadi eksperimen.

“Profesor saya menyebut bahawa dia pakar dalam tekstil dan bakteria, jadi timbul rasa ingin tahu dalam diri saya,” ujarnya apabila idea ‘gila’ itu tercetus selepas bergurau mengenai analisis bakteria pada seluar jeans.

“Saya sebenarnya bergurau bila saya mengatakan bahawa kita harus melakukan analisis bakteria pada jeans dan dari situlah ia bermula,” jelasnya.

Seluar jeans tersebut telah dipakai ke merata tempat dan melalui pelbagai musim termasuklah berdepan dengan suhu beku Edmonton hingga cuaca panas terik di California dan Mexico.

“Memakai seluar jeans setiap hari, untuk satu perkara, ia menghilangkan tekanan dari memilih apa yang harus dipakai pada waktu pagi, kadang-kadang saya tidur memakainya untuk membantu mempercepat proses pudar,” katanya.

“Sekiranya anda tidak mencuci pakaian, ia akan menimbulkan pertanyaan. Saya sangat berhati-hati dengan bau. Saya akan melakukan ujian bau pada waktu pagi,” tambahnya.

Jika jeans itu berbau, dia akan memasukkan jeans tersebut ke dalam peti sejuk semalaman atau menggantungnya selama beberapa jam untuk menghilangkan bau.

Gambar sekadar hiasan

“Saya sangat kagum dengan Josh. Dia sangat ingin tahu dan ini kedengaran seperti projek yang menyeronokkan,” ujar profesornya, Rachel McQueen.

“Mereka mencuci seluar jeans tersebut dan memakainya selama 13 hari lagi. Tidak ada perbezaan dalam pengangkutan bakteria walaupun ia dipakai selama 15 bulan atau hanya 13 hari,” sambungnya lagi.

Tambahnya, bakteria yang terdapat pada seluar jeans kebanyakannya berasal dari kulit Le dan ia tidak berbahaya.

Le dan profesornya menjelaskan bahawa bahawa penyelidikan berkenaan tidak berdasarkan saintifik kerana ia dilakukan dalam skala kecil namun perbuatan tidak mencuci seluar jeans selepas memakainya adalah sesuatu yang baik untuk alam sekitar dan baik untuk seluar jeans anda.

“Saya secara peribadi berpendapat 15 bulan agak lama. Lebih baik jangan mencuci seluar jeans anda selepas memakainya. Dengan tidak kerap mencuci, anda akan memanjangkan ketahanan jeans anda,” katanya.

Sumber: The Vocket