Maklumat terkini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat pengampunan serta merta daripada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Dr Mahathir, perkara penting itu disampaikan kepadanya ketika istiadat angkat sumpah sebagai Perdana Menteri semalam.

“Agong menyampaikan titah berkenaan untuk memberi pengampunan serta merta kepada Anwar. Jadi kami akan melaksanakan proses sewajarnya untuk mendapatkan pengampunan buat Anwar,” jelasnya.

“Ia akan menjadi pengampunan penuh yang bermakna Anwar akan dibebaskan serta merta,” tambahnya di sidang media yang berlangsung di Yayasan Al-Bukhary selepas mesyuarat Majlis Presiden sebentar tadi.

Difahamkan, Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Sungai Buloh, Selangor selepas disabit bersalah atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan sepatutnya bakal dibebaskan 8 Jun ini.

Namun, tidak diketahui tarikh dan masa yang tepat mengenai pembebasan Anwar buat sementara waktu ini.

Sumber: mStar