Seorang anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru(MBJB) Shazrin Hafeez, 26 tahun, menjadi hero dalam kejadian kes ragut melibatkan seorang wanita di kawasan rumah kedai di Taman Mount Austin, Johor Bahru, semalam.

Menurutnya, dalam kejadian pukul satu tengah hari, dia sedang menjalankan tugas memeriksa petak tempat letak kereta berkupon berdekatan lokasi kejadian.

“Saya tidak fikir langsung apa akan terjadi, saya tidak kisah asalkan pada waktu itu dapat tangkap peragut,” ujarnya.

“Saya terdengar jeritan minta tolong seorang wanita dan pada masa sama, ternampak peragut terjatuh dari motosikal selepas meragut wanita terbabit,” jelasnya.

“Saya tidak melakukan ‘flying kick’ seperti kelihatan dalam video tular itu. Sebaliknya, saya terus berlari ke arah peragut dan terus terkam sehingga kami terjatuh,” katanya.

“Saya tidak fikir sama ada peragut itu berbahaya atau tidak pada waktu itu, yang penting saya dapat tangkap peragut terbabit. Ramai cakap saya bertubuh kecil, tetapi berjaya tangkap peragut,” sambungnya.

“Semua itu dengan bantuan orang awam yang berada di sekitar kawasan yang turut membantu bersama menangkap peragut terbabit,” tambahnya lagi.

“Memang tidak sangka video itu tular dengan begitu pantas. Saya diberitahu rakan berhubung video tular saya menangkap peragut itu ketika sedang berurusan di balai polis,” ujarnya yang sudah tiga tahun berkhidmat sebagai penguat kuasa MBJB.

Selain itu, pihak polis turut mengucapkan tahniah atas keberanian dan tindakan pantas Shazrin dan orang awam yang berjaya menahan peragut di Taman Mount Austin, Johor Bahru, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan(JBS), Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain, menyatakan bahawa suspek berusia 32 tahun telah diserahkan kepada polis oleh orang awam.

Difahamkan, pihak polis merampas motosikal digunakan suspek, topi keledar dan beg tangan mangsa sebagai barang kes.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebat jika sabit kesalahan,” katanya.

Sumber: Harian Metro