Baru-baru ini, tular di laman sosial apabila pelbagai reaksi diterima apabila terdapat cadangan memperkenalkan tulisan khat atau seni kaligrafi dalam kurikulum Darjah Empat Bahasa Melayu untuk sekolah vernakular.

Berikutan itu, salah seorang anggota kumpulan nasyid Raihan memberi pandangan mereka terhadap isu hangat tersebut.

Anggota kumpulan Raihan, Abu Bakar Md Yatim, menjelaskan bahawa dia mempunyai anak lelaki berumur 10 tahun yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan(SJK).

“Sebenarnya bergantung pada persepsi kita. Tulisan bangsa-bangsa lain kita kena belajar, sebab itu Allah jadikan kita berbeza-beza untuk saling kenal mengenali,” ujarnya.

“Untuk anak saya dia memang sekolah Cina tapi untuk masuk kelas kaligrafi kena bayar.Tapi tak apa, sebab saya pun minat seni, saya mahu dia belajar seni kaligrafi tersebut,” jelasnya.

Selain itu, seorang lagi anggota kumpulan Raihan, Che Amran Idris, menyatakan bahawa tulisan jawi tidak ‘meng-Islamkan’ mana-mana bangsa yang belajar tulisan tersebut.

“Bagi saya satu tulisan itu cara untuk menyampaikan maklumat. Orang Arab ada jawinya kita pun pakai tulisan roman,” katanya.

“Memang tulisan jawi ni dikaitkan dengan agama, namun jika kita menulis tulisan agama lain pun ia tidak membuatkan kita nak masuk agama mereka. Saya rasa ia adalah sentimen yang sengaja digembar-gemburkan,” sambungnya.

Sumber: Astro Awani