Anak sulung penyanyi terkenal, Nora Ariffin bersama komposer, allahyarham Johan Nawawi iaitu Syakir Iman dilihat menyambung perjuangan seni arwah ayahnya iaitu dengan menerbitkan buku dan video animasi untuk kanak-kanak.

Syakir kini menggalas tugas sebagai Eksekutif Jualan dan Pemasaran Hud Hud Media untuk membantu ibunya dalam menguruskan syarikat keluarga mereka.

Menurutnya, jenama Ummi sinonim dengan buku dan video animasi itu berjaya menarik perhatian terutama kanak-kanak untuk membeli pelbagai buku jenama Ummi seperti buku Belajar Solat Bersama Ummi,Kad Imbas Belajar Abjad, Alphabet dan Jawi Bersama Ummi.

“Saya percaya meskipun jenama Ummi itu kuat tapi ia bukan mahu mengejar populariti sebaliknya menyebarkan dakwah sepertimana pesan arwah ayah,” ujarnya.

“Menariknya, buku ini mengandungi ‘Augmented Reality’ (AR) 3D yang membolehkan kanak-kanak membaca secara interaktif menerusi aplikasi Jom Belajar,” jelasnya mengenai buku Kad Imbas Belajar Jawi Bersama Ummi.

Menyebar dakwah memang mempunyai banyak cara dan diharap Syakir terus berdakwah dengan cara ini agar dapat membantu kanak-kanak belajar tulisan Jawi, cara solat, abjad dan sebagainya di usia muda.

Sumber: Astro Gempak